Monday, September 8, 2008
RAMADHAN DAHULU DAN SEKARANG
Kedatangan Ramadhan setiap tahun memang dinanti-nantikan. Saya masih terigau-igau ketika sekitar usia saya memasuki belasan tahun ditahun 1960an. Sangat meriah dan menjadi kenangan yang sukar dilupakan. Bulan Ramadhan dinanti-nantikan oleh setiap orang dikampung kelahiran ku. Ketika itu api dan air serta jalan raya tidak terlintas wujud seperti hari ini. Pada setiap petang Ramadhan kami anak-anak kecil akan berlumba-lumba memasang api longgokan tempurung kepala disekitar kawasan rumah dan penghujung kampung. Setelah itu ia akan dinyalakan sebaik sahaja senja tiba iaitu ketika burung taktibau pulang kesarang dari mencari makan. Ketika itulah waktu berbuka puasa. almaklumlah jam dikatakan suatu barang mewah dan rata-rata orang kampung hanya berpandukan bunyi burung waktu petang dan bunyi kokokan ayam waktu pagi sebagai waktu imsak. Setelah berbuka puasa bersama keluarga (selalunya bersama-sama dua tiga keluarga) maka anak-anak kecil ini akan berlari-lari keriangan melihat suasana yang terang benderang akibat dari pembakaran longgokan tempurung kelapa yang disusun seperti satu unggun tersusun. Dan, tak kurang juga mereka yang telah berusia sekitar 10 tahun keatas pulak akan membakar meriam buluh hasil dari kerjasama membuatnya ketika waktu siang tadi. Buluh yang tidak bertanam itu diambil disepanjang sungai Jempol yang letakkan kira-kira suku batu dari kampung kami itu. Maka apa lagi ... berdentum dentanglah dan hingar bingar bunyi meriam buluh seluruh kampung bersama dengan kecerahan malam akibat api unggun tempurung kelapa. Peristiwa ini saban malam berlaku bermula dari jam 8 hingga 9 malam iaitu masuknya waktu solat Terawih yang didirikan disurau-surau dan masjid. Surau kampung kami yang terletak dijalan masuk kekampung itu akan riuh rendah dengan suara alquran dibaca oleh penduduk kampung. Surau yang terdiri dari atap rembia dan berdinding serta berlantaikan papan buruk itu akan terang benderang kerana menjadi tumpuan orang-orang kampung semua peringkat umur melakukan solat terawih dan mengaji alquran. Biasanya hingga jam 12 atau 1 pagi barulah surau itu sunyi kembali tetapi sebilangan anak-anak muda yang bujang akan terus tinggal kerana menantikan waktu qiamullalil pula. Jadi kesunyian surau itu hanya seketika sahaja. Biasanya anak-anak bujang akan melakukan aktiviti solat dengan dipimpin oleh salah seorang dari mereka. Tok Guru kampung telah berpesan sebelum Ramadhan lagi bahawa ketika bulan Ramadhanlah semua orang mesti beramal dan membuat kerja-kerja kebajikan. Anak-anak muda mestilah melakukan sesuatu yang dapat mengamarahkan surau kerana orang-orang dewasa lebih menumpukan kepada aktiviti ekonomi terutama untuk persiapan dihari Aidilfitri. Begitulah selama sebulan bulan Ramadhan dipenuhi dengan melakukan amal solih disamping menjadikan masyarakat kampung lebih teguh dan bersatu. Gejala sosial hampir tidak kedengaran dan kemeriahan kampung sentiasa terjamin. Bagaimana dihari ini??????
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment