WELCOME

"Jika dad terasa sesak, MASALAH yang dihadapi sangat rumit, dan tipu muslihat sangat banyak, maka bersegeralah datang ke tempat sembahyang, dan BERSEMBAHYANGlah

Friday, September 26, 2008

Monday, September 8, 2008

RAMADHAN DAHULU DAN SEKARANG

Kedatangan Ramadhan setiap tahun memang dinanti-nantikan. Saya masih terigau-igau ketika sekitar usia saya memasuki belasan tahun ditahun 1960an. Sangat meriah dan menjadi kenangan yang sukar dilupakan. Bulan Ramadhan dinanti-nantikan oleh setiap orang dikampung kelahiran ku. Ketika itu api dan air serta jalan raya tidak terlintas wujud seperti hari ini. Pada setiap petang Ramadhan kami anak-anak kecil akan berlumba-lumba memasang api longgokan tempurung kepala disekitar kawasan rumah dan penghujung kampung. Setelah itu ia akan dinyalakan sebaik sahaja senja tiba iaitu ketika burung taktibau pulang kesarang dari mencari makan. Ketika itulah waktu berbuka puasa. almaklumlah jam dikatakan suatu barang mewah dan rata-rata orang kampung hanya berpandukan bunyi burung waktu petang dan bunyi kokokan ayam waktu pagi sebagai waktu imsak. Setelah berbuka puasa bersama keluarga (selalunya bersama-sama dua tiga keluarga) maka anak-anak kecil ini akan berlari-lari keriangan melihat suasana yang terang benderang akibat dari pembakaran longgokan tempurung kelapa yang disusun seperti satu unggun tersusun. Dan, tak kurang juga mereka yang telah berusia sekitar 10 tahun keatas pulak akan membakar meriam buluh hasil dari kerjasama membuatnya ketika waktu siang tadi. Buluh yang tidak bertanam itu diambil disepanjang sungai Jempol yang letakkan kira-kira suku batu dari kampung kami itu. Maka apa lagi ... berdentum dentanglah dan hingar bingar bunyi meriam buluh seluruh kampung bersama dengan kecerahan malam akibat api unggun tempurung kelapa. Peristiwa ini saban malam berlaku bermula dari jam 8 hingga 9 malam iaitu masuknya waktu solat Terawih yang didirikan disurau-surau dan masjid. Surau kampung kami yang terletak dijalan masuk kekampung itu akan riuh rendah dengan suara alquran dibaca oleh penduduk kampung. Surau yang terdiri dari atap rembia dan berdinding serta berlantaikan papan buruk itu akan terang benderang kerana menjadi tumpuan orang-orang kampung semua peringkat umur melakukan solat terawih dan mengaji alquran. Biasanya hingga jam 12 atau 1 pagi barulah surau itu sunyi kembali tetapi sebilangan anak-anak muda yang bujang akan terus tinggal kerana menantikan waktu qiamullalil pula. Jadi kesunyian surau itu hanya seketika sahaja. Biasanya anak-anak bujang akan melakukan aktiviti solat dengan dipimpin oleh salah seorang dari mereka. Tok Guru kampung telah berpesan sebelum Ramadhan lagi bahawa ketika bulan Ramadhanlah semua orang mesti beramal dan membuat kerja-kerja kebajikan. Anak-anak muda mestilah melakukan sesuatu yang dapat mengamarahkan surau kerana orang-orang dewasa lebih menumpukan kepada aktiviti ekonomi terutama untuk persiapan dihari Aidilfitri. Begitulah selama sebulan bulan Ramadhan dipenuhi dengan melakukan amal solih disamping menjadikan masyarakat kampung lebih teguh dan bersatu. Gejala sosial hampir tidak kedengaran dan kemeriahan kampung sentiasa terjamin. Bagaimana dihari ini??????

Thursday, September 4, 2008

RAMADHAN DATANG LAGI

Selamat menyambut Ramadhan 1429H. Syukur alhamdulillah kita semua dapat sama-sama menikmati bulan yang mulia ini. Sama-samalah kita beramal dan beribadah dan banyak-banyak melakukan amal jariah muga-muga dimurahi rezeki dan hidup bahagia. Saya sepertimana tahun-tahun yang lalu itu sentiasa cuba meningkatkan lagi amal solih dengan melakukan apa-apa perkara yang difikirkan memerlukan kita bermuhasabah. Walaupun usia telah meningkat namun amal solih sentiasa dirasai masih tidak mencukupi. Syukur kesihatan setakat ini tidak menghalang segala apa yang dihajati dan kelihatannya aktiviti harian dapat dilakukan dengan sempurna. Hanya kepada Illahilah tempat kita bergantung dan kita sentiasa berserah kepadaNya. Rutin kerja harian mestilah dilakukan dengan menoleh kebelakang sebagai usaha meningkat dan merubah apa yang telah berlaku. Insyaalah pada Ramadhan ini muhasabah diri itu terus ditingkatkan. Amin yarabbilngalamin.

Thursday, August 14, 2008

USIA BERSARA DAN AKTIVITI

Memasukki gerbang usia bersara ini mempunyai keseronokan yang tersendiri. Setiap individu yang terlibat akan mengecapi dengan rasa nikmat yang sukar digambarkan. Apa tidaknya dalam tempoh inilah kita akan berdepan dengan suatu suasana yang sungguh terancang dan terarah seandainya individu tersebut membuat persediaan yang rapi dan jelas. Saya mengagak tentunya rakan-rakan saya telah melakukan sesuatu yang terbaik bagi dirinya termasuk keluarga dan anak-anak. Syukur jika itu telah dilakukan dan kebahagian akan menjelma dalam usia meniti kearah tuju yang semua individu akan menempuhnya.
Saya dengan rasa gembira dapat bertemu beberapa rakan yang seusia sejak zaman persekolahan baik rendah, menengah maupun diperingkat universiti. Tahun-tahun sekolah rendah saya bermula dari tahun 1960 dikampung yang serba kekurangan. Zaman persekolahan sungguh mencabar dan hanya bergantung kepada keikhlasan keluarga sahaja. Begitu juga zaman persekolahan menengah dan universiti. Namun kerana azam dan suasana ketika itu telah menyebabkan persekitaran memainkan peranan penting mencorakkan setiap individu tersebut. Jika mereka mempunyai otak yang maju dalam bidang pelajaran maka mereka akan dapat meneruskan pembelajaran lebih tinggi dan jika sebaliknya mereka akan terus menghadapi suasana keliling yang mengikut masa dan keadaan. Semua keluarga kelihatan hanya lebih berserah kepada keadaan dan jarang benar ibubapa yang begitu prihatin kepada alam persekolahan. Keadaan ini jauh berbeza dengan hari ini yang dianggap suatu perubahan yang begitu menggalakkan.
Berbalik kepada aktiviti usia setelah bersara dari memegang jawatan samada disektor kerajaan maupun swasta maka terpulanglanglah atas kebijaksanaan individu itu mengisinya. Sesungguhnya proses pembelajaran itu tidak terputus dan tiada penghujungnya. Justru saya menyeru kepada rakan-rakan sekelian isilah masa yang terluang itu dengan mencari ilmu bagi tujuan memantapkan lagi keimanan, jati diri, kesihatan dan keluarga. Prinsip hidup yang terarah dan terancang hendaklah diamalkan supaya usia kita ini terus menjadi mantap dan dihormati. Jika dikaji akan penggunaan masa dan tenaga akan kelihatan kita ini tidak ada masa lagi dan segala keutamaan diri serta masyarakat menjadi pengatur hidup seharian.

Thursday, July 31, 2008

MAIN BONGAI MAJLIS PERKAHWINAN

Pada Ahad 27 Julai lalu saya berkesempatan hadir dimajlis perkahwinan di Kampung Bukit Kelulut, Bahau Negeri Sembilan. Sebaik sampai diperkarangan rumah pengantin perempuan itu kedengaran dicuping telinga saya sayu-sayu suara dua orang gadis yang sedang menyanyi mengkemandangkan lagu tradisional BONGAI. Sambil berbalas-balas pantun mereka jeling menjeling antara satu dengan lain dengan diperhatikan oleh sekumpulan peminatnya. Antara pantun yang dapat diingat adalah
Kain perai bajunya perai
Pakaikan anak kelasi tongkang
Nyawa dibadan lagikan bercerai
lnikan pula kasih menumpang

Rakit-rakit pergi ke tepi
Budak-budak tumpang menyeberang
Hati sakit kerana budi
Budi abang tak dikenang orang

Cili api memang pedas
Buat rendang sedap rasanya
Abang berbudi tak hendak dibalas
Kalau kau kenangkan apa salahnya

Saya sekeluarga 'melopong' melihat telatah dan riaksi anggota kumpulan BONGAI itu yang saya difahamikan datang dari Kumpulan Bongai Kampung Temeris, Bahau Negeri Sembilan. Ketika anggota kumpulan Bongai ini berehat minum, saya mendekati salah seorang anggota kumpulan ini dan bertanyakan akan perkembangan kumpulan mereka termasuklah siapa yang memimpin dan menjadi 'orang kuat' mereka. Ini kerana terlalu jarang sekali kumpulan muzik tradisional tempatan yang boleh diketengahkan untuk bermain dimajlis-majlis keramaian. Ketua kumpulan yang dipanggil 'Pak Hasan' berusia 60an menjelaskan bahawa kumpulan Bongai Kg. Temeris itu telah ditubuhkan 5/6 tahun lalu berikutan tunjukajar dari beberapa bekas ahli kumpulan Bongai dari Kg. Tengkek dan Kepis yang telah tidak wujud lagi akibat ketiadaan barisan pelapis. Jadi Pak Hasan dengan beberapa orang peminat muzik Bongai ini mengambil inisiatif cuba menghidupkannya kembali dan dengan restu Majlis Kebudayaan kerajaan N. Sembilan telah dapat membentuk satu kumpulan terdiri dari 15 orang beliawanis tempatan. Golongan belia sayang sekali kurang menunjukkan minat dan kelihatannya orang lelaki dewasa yang telah berumur sekitar 60an sanggup bersama anak-anak beliawanis ini. Setakat ini mereka telah bermain dibeberapa majlis keramaian anjuran kerajaan dan swasta dan telah menjelajah dibeberapa tempat sehingga di Kuala Lumpur, Seremban, Melaka dan Johor Bahru. Berhubung bayaran adalah mengikut budibicara kedua pihak dan mereka memberitahu yang penting adalah mereka dapat menunjukkan bakat dan kemahiran mereka bermain alat muzik tradisional itu yang kian hari makin dilupakan.
Akhirnya pertemuan itu saya mengucapkan syabas dan segala niat murni itu insyaallah berjaya.

Friday, July 11, 2008

waitangkung program gerontologi

Setelah 3 bulan mengikuti program Gerontologi Universiti Putra Malaysia (UPM) bermula April - Jun 2008 yang berakhir minggu lalu itu saya mendapati kursus amalan kesihatan yang dipanggil Senaman Waitankung sangat berfaedah. Senaman ini lebih kepada kombinasi aktiviti dalaman dan luaran fizikal. Selama 2 jam setiap hari Sabtu seramai 20 orang pelajar U3A ini telah melakukan aktiviti senaman itu diperkarangan Institut Gerontologi UPM. Senaman ini dikendalikan oleh Persatuan Waitankung Malaysia dan guru seorang yang berpengalaman. Beliau dibantu oleh dua orang pembantunya yang sentiasa mengambil perhatian kepada segala gerak geri pelajar. Beberapa gerakgeri yang mengikut amalan waitankung mesti dilakukan bagi mendapatkan keselesaan dan keseronokan senaman itu misalnya bermula dari penafasan dan diikuti gerakgeri segala pancaindera tubuh badan. Aliran darah merupakan tekanan yang utama dalam pergerakan waitankung. Semua peringkat umur dapat mengikuti amalan senaman ini dan kesan jangka panjang adalah diharapkan supaya pengaliran darah dalam tubuh badan kita sempurna. Sekali gus dapat menjauhkan segala penyakit kronik seperti darah tinggi, buah pinggang, lemah jantung dan seterusnya. Amalan pemakanan yang sihat membantu gerakgeri senaman waitankung. Jagalah kesihatan kerana ianya mencerminkan segala gerakgeri dan aktiviti kita seharian.

Sunday, June 22, 2008

SEHARI PERJALANAN KE BAHAU

Isu harga minyak naik lagi terus menghantui seluruh rakyat Malaysia. Entahlah, begitulah perkembangan dunia hari ini. Dua hari lepas, saya balik ke kampung kelahiran di Bahau, Negeri Sembilan. Saya ditemani oleh anak yang ketika ini sedang bercuti. Saya menggunakan kereta Proton Saga 1.3 kepunyaan anak saya. Di Kajang saya isi petrol RM50 dan mengikuti jalan lama iaitu melalui Semenyik, Beranang, Seremban dan seterusnya Kuala Pilah dan Bahau. DiKuala Pilah, kami berhenti di sebuah warung arah jalan ke Sawah Lebar berhampiran dengan Masjid Jamek Kuala Pilah. Jam menunjukkan sebelas lebih. Saya ingin menghilangkan dahaga minum secawan Milo dan air suam. Anak saya minum air teh o ais. Sambil memandang sekitaran diwarung itu saya dapati dua tiga orang warga emas yang berumur sekitar 60 an lelaki dan wanita di warung itu memilih makanan terutama kuih, lauk dan lain. Saya kedengaran salah seorang warga emas itu disapai oleh rakan kenalannya seorang wanita juga dengan mengatakan bahawa tengahari ini tak masak pun, maklumlah dah tinggal seorang ni.. buang masa dan makan pun tak banyak mana. Saya lihat beliau membeli dua jenis lauk mungkin ikan dan sayuran. Warga emas lain pun begitu juga. Didalam hati saya berkata, betul juga ya, dalam usia emas ni, daripada membuang masa untuk memasak, lebih baik beli eja diluar. Seusia begitu, makan pun sedikit. Saya terus mengelamun sambil anak saya memakan dua biji kueh karipap dan kuih bengkang. Sementara itu kira-kira 15, 20 minit kemudian warung itu didatangi pula oleh dua tiga orang lelaki yang berpakaian kemas dan saya percaya mereka teridiri kakitangan pejabat. Sesungguhnya warung itu terletak berhampiran dengan beberapa pejaabt kerajaan iaitu Pejabat Daerah, RISDA, Perikanan, KEMAS, Balai Polis, Haiwan dan lain. Kakitangan kerajaan ini singgah diwarung itu untuk membeli lauk makanan tengahari yang kebetulan hari itu hari Jumaat. Jadi mereka keluar pejabat agak awal sikit dan mungkin kerana isteri mereka berkerja juga, jadi mereka membeli lauk sahaja sebelum pulang kerumah. Saya perhatikan harga lauk yang mereka beli itu sekitar RM 7 atu RM8. Ada pulak tu mencecah RM12. Hai, teruk juga ya.. seekor ikan kembong masak cili padi itu harganya RM3.50, sayuran RM1.50, seketul ayam rendang RM3.00, seekor ikan sembilang atau keli RM3.00. Jadi memang untuk satu keluarga dengan 2 anak tak lari RM8 ke RM10 untuk 3 jenis lauk. Saya kira pelanggan warung itu memang berhemah untuk berbelanja. Mungkin bukan hari-hari begitu mereka datang membeli, cuma seminggu dua atau tiga kali saja. Mungkin kesuntukan masa atau nak cepat untuk sesuatu. Kira-kira 20 minit saya berhenti diwarung itu, saya meneruskan perjalanan menuju ke bandar Bahau mengikut jalan Sawah Lebar, Juasseh dan seterusnya Jempol. Kami terus menuju ke mesjid Jamek Bahau kerana waktu azan solat Jumat hampir tiba. Sesampai di masjid, ahli jamaah telah berkumpul sekitar 50 ke 60 orang dan kelihatan masih ramai lagi kaum muslimin menuju ke rumah Allah itu. Kami bertafakur dan meneruskan agenda solat Jumaat. Seronok sekali khutubah yang dibacakan oleh khatib iaitu bertajuk peranan kaum wanita dalam pembangunan ummah. Beliau menyentuh isu ibu tunggal yang ketika ini memerlukan perhatian dari semua pihak termasuk kerajaan. Kewujudan ibu tunggal di negara kita termasuk sekitar daerah Jempol terus meningkat sehari demi sehari. Kampung-kampung tradisional hampir menjadi majoriti dihari ini dihuni oleh ibu tunggal disamping bapa tunggal. Sementara itu anak-anak mereka pulang menjenguk dihujung bulan sahaja untuk memberi wang atau membelikan barang-barang keperluan harian. Maklumlah ibu dan bapa ini lebih selesa tinggal dirumah sendiri dari rumah anak dibandar yang sempit. Sekali gus terkenang saya peristiwa di warung Kuala Pilah tadi. Warung yang menjual lauk pauk sentiasa dilanggani oleh ibu atau bapa tunggal. Begitulah ceritanya dan sama-samalah kita fikirkan perkembangan institusi masyarakat dan persekitaran kita ini. Setelah urusan selesai, saya kembali ke Kajang dengan seribu kenangan dan pengalaman. Termenung memikirkan akan isu-isu semasa ini.